top of page

RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil di  mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip berikut:
 
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN
 
 
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

 

 
 
 
FALSAFAH PENDIDIKAN SAINS NEGARA
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan sains di Malaysia memupuk budaya Sains dan Teknologi dengan memberi tumpuan kepada perkembangan individu yang kompetitif, dinamik, tangkas dan berdaya tahan serta dapat menguasai ilmu sains dan keterampilan teknologi.
 
 
 
PRAKATA
Aspirasi bangsa untuk menjadi masyarakat perindustrian dapat direalisasikan melalui kemajuan dan pembangunan  sains dan teknologi secara berterusan. Demi mencapai hasrat ini  pendidikan sains yang berkualiti perlu disediakan agar negara dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran serta berkeupayaan mempelopori pesaing lain di peringkat antarabangsa dalam kemajuan sains dan teknologi.
Kurikulum Biologi direka bentuk bukan sahaja untuk menyediakan peluang kepada murid memperolehi kemahiran dan pengetahuan sains, membina kemahiran dan strategi berfikir, dan membina aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan tetapi juga menyemai nilai murni dan semangat patriotisme. Adalah diharapkan proses pendidikan menjadi wahana untuk mencapai matlamat menghasilkan bangsa dan masyarakat yang seimbang, harmoni dan berjaya.
Kurikulum Biologi bertujuan menghasilkan murid yang aktif melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang telah dicadangkan. Untuk mencapai hasrat ini, murid diberi peluang yang luas dalam penyiasatan saintifik melalui aktiviti amali dan eksperimen. Justeru kurikulum Biologi menekankan 
pendekatan inkuiri,  strategi berfikir dan pembelajaran berfikrah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 
Bermula tahun 2012, Bahasa Malaysia boleh digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik bagi murid Tingkatan 4 sehingga kohort ini tamat Tingkatan 5 pada tahun berikutnya. Penggunaan Bahasa Inggeris dan/atau Bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di peringkat menengah atas boleh diteruskan sehingga tahun 2015, iaitu tahun akhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia disediakan dalam dwibahasa. Langkah ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dari segi bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.
Kepada semua pihak yang terlibat menghasilkan spesifikasi kurikulum terjemahan ini, Kementerian Pelajaran Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
 
(DATO’ HAJI IBRAHIM BIN MOHAMAD) 
Pengarah Bahagian Pembangunan
Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia
 
 
PENDAHULUAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu supaya dapat melahirkan insan yang seimbang, harmoni dan bermoral tinggi. Hasrat ini termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan sains sekolah rendah dan menengah dibangunkan dengan matlamat membentuk individu seperti yang dihasratkan.
Malaysia yang menuju ke arah status negara maju, perlu mewujudkan masyarakat yang berbudaya sains, progresif, berilmu, berkemampuan membawa perubahan, berpandangan jauh, inovatif serta menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi dimasa hadapan. Selari dengan aspirasi ini, pembangunan  warganegara yang kritis, kreatif dan berketerampilan, bersifat terbuka dan berdaya saing dalam sains dan teknologi adalah diperlukan.
Kurikulum sains Malaysia merangkumi tiga mata pelajaran sains teras dan empat matapekajaran sains elektif. Mata pelajaran teras adalah  sains sekolah rendah, sains menengah rendah dan sains menengah atas. Mata pelajaran sains elektif ditawarkan di peringkat 
menengah atas dan terdiri daripada Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan.
Mata pelajaran Sains Teras untuk sekolah rendah dan menengah di reka bentuk untuk memberi pengetahuan asas sains, menyediakan murid celik sains dan murid mampu mengikuti sains di peringkat menengah atas. Mata pelajaran Sains Teras untuk menengah atas di reka bentuk untuk menghasilkan murid yang celik sains, inovatif dan berupaya mengaplikasikan pengetahuan sains dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan. 
Mata pelajaran sains elektif menyediakan murid yang cenderung, dalam bidang sains untuk menceburi kerjaya bidang sains dan teknologi yang khusus dan profesional. Golongan murid ini akan menjadi sumber tenaga manusia dalam bidang sains dan teknologi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Negara.
Setiap mata pelajaran sains dibekalkan dua dokumen iaitu Sukatan  Pelajaran (SP) dan Spesifikasi Kurikulum (SK). SP mengandungi tujuan, objektif dan garis panduan bagi kandungan kurikulum untuk tempoh dua tahun bagi mata pelajaran sains elektif dan lima tahun untuk mata pelajaran Sains Teras. SK mengandungi maklumat kurikulum yang meliputi tujuan dan objektif kurikulum, penerangan kemahiran berfikir dan stategi berfkir, kemahiran saintifik, sikap saintifik dan nilai murni, stategi pengajaran dan pembelajaran dan kandungan kurikulum. Kandungan kurikulum mengandungi objektif pengajaran, cadangan aktiviti pengajaran, hasil pembelajaran dan perbendaharaan kata.
 
 
MATLAMAT
Matlamat kurikulum Biologi untuk sekolah menengah adalah bertujuan untuk membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran sains dan teknologi serta membolehkan mereka menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dalam kehidupan seharian berdasarkan sikap saintifik dan nilai murni.
Murid yang telah mengikuti kurikulum biologi sekolah menengah akan memperolehi asas biologi yang membolehkan mereka memperolehi pendidikan lanjutan dalam sains dan teknologi secara rasmi dan tidak rasmi.
Kurikulum ini juga bertujuan untuk membangunkan masyarakat yang bertanggungjawab, dinamik dan berdaya maju dengan membudayakan sains dan teknologi secara semulajadi dalam menangani pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. 
 
 
OBJEKTIF
Kurikulum Biologi untuk sekolah menengah membolehkan murid:
1. Memperolehi pengetahuan tentang konsep dan prinsip biologi serta menghubungkaitkan pengetahuan ini dengan fenomena alam semulajadi dan pengalaman harian.
2. Memperolehi kefahaman tentang aplikasi konsep dan prinsip biologi dalam bidang teknologi dan kehidupan harian.
3. Menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
4. Mengaplikasikan pengetahuan sains dan kemahiran saintifik secara kritis dan kreatif berasaskan sikap saintifik dan nilai murni dalam penyelesaian masalah, dan membuat keputusan berkaitan isu biologi.
5. Menggunakan pengetahuan biologi untuk meningkatkan status kesihatan dan menangani cabaran dunia sains dan teknologi dan boleh menyumbang ke arah pembangunan sains dan teknologi.
6. Menilai maklumat mengenai sains dan teknologi dengan bijak dan berkesan.
7. Mengamalkan sikap saintifik dan nilai murni.
8. Menyedari kepentingan saling hubungan antara kehidupan dan pengurusan alam semulajadi serta sumbernya dengan bijaksana demi kesinambungan hidup manusia sejagat.
9. Menghargai sumbangan sains dan teknologi terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan manusia sejagat.
10. Menyedari bahawa penemuan melalui penyelidikan sains adalah usaha manusia berasaskan kemampuan akal untuk memahami fenomena alam ke arah mencapai kesejahteraan hidup manusia sejagat.
11. Mewujudkan kesedaran ke atas kepentingan kasih sayang kepada alam sekitar dan memainkan peranan dalam   pemuliharaan dan pemeliharaannya. 
 
 
KEMAHIRAN SAINTIFIK
Sains mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah. Dalam proses inkuiri dan menyelesaikan masalah, kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir digunakan. Kemahiran saintifik merupakan kemahiran yang penting untuk menjalankan sebarang aktiviti mengikut kaedah saintifik seperti menjalankan eksperimen dan projek. 
Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.
Kemahiran Proses Sains
Kemahiran proses sains ialah kemahiran yang membolehkan murid mempersoalkan sesuatu dan mencari jawapan secara bersistem. Kemahiran proses ini terdiri daripada kemahiran yang mudah kepada yang kompleks.
Penerangan tentang setiap kemahiran proses sains diberi seperti berikut:
 
Kemahiran Manipulatif 
Kemahiran manipulatif merupakan kemahiran psikomotor dalam penyiasatan sains yang membolehkan murid melakukan perkara yang berikut:
 menggunakan dan mengendalikan bahan dan peralatan sains dengan betul.
 mengendalikan spesimen dengan betul dan cermat.
 melakar spesimen, bahan dan peralatan sains dengan tepat.
 membersihkan peralatan sains dengan cara yang betul.
 menyimpan bahan dan peralatan sains dengan betul dan selamat.
 
 
KEMAHIRAN BERFIKIR
Berfikir merupakan  satu proses mental yang memerlukan individu menggabung jalinkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ada pada dirinya bagi membolehkannya memahami dan mencorak alam sekeliling. Salah satu objektif sistem pendidikan negara adalah untuk mempertingkat daya berfikir di kalangan murid. Objektif ini boleh dicapai melalui kurikulum yang menekankan pembelajaran berfikrah. Pengajaran dan pembelajaran yang menekankan kemahiran berfikir dan strategi berfikir adalah teras kepada pembelajaran berfikrah. Pembelajaran berfikrah boleh dicapai jika murid dilibatkan secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam proses ini aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dapat mencungkil minda murid dan mendorongnya untuk berfikir agar mereka dapat mengkonsepsikan, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Kemahiran berfikir boleh digolongkan kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Seseorang yang berfikir secara kritis akan sentiasa menilai sesuatu idea dengan sistematik sebelum menerimanya. Seseorang yang berfikir secara kreatif mempunyai daya imaginasi yang tinggi, berupaya menjanakan idea yang inovatif dan asli, serta boleh mengubah suai idea dan produk yang sedia ada. Strategi berfikir merupakan proses berfikir yang lebih tinggi peringkatnya 
(peringkat tinggi) yang melibatkan beberapa langkah dan setiap langkah melibatkan beberapa  kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Strategi berfikir merupakan fungsi utama dan matlamat akhir kepada proses berfikir.
 
 
Kemahiran Berfikir Kritis
Penerangan ringkas tentang setiap kemahiran berfikir  adalah seperti yang berikut: Mencirikan
Membandingkan dan membezakan
Mengumpulkan dan mengelaskan
Membuat urutan
Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.
Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa.
Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing  berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat sepunya. 
Menyusun objek dan maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti atau kuantiti ciri atau sifatnya 
Menyusun mengikut keutamaan
Menganalisis
Mengesan kecondongan
Menilai
Membuat kesimpulan
seperti saiz, masa, bentuk atau bilangan.
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan.
Mengolah maklumat dengan menghuraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.
Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak kepada atau menentang sesuatu.
Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara dari segi kebaikan dan keburukan, berdasarkan bukti atau dalil yang sah.
Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis.
Kemahiran Berfikir Kreatif
Penerangan ringkas tentang setiap kemahiran berfikir kreatif adalah seperti yang berikut:
Menjanakan idea
Menghubungkaitkan
Membuat inferens
Meramalkan
Menghasilkan idea yang berkaitan dengan sesuatu perkara.
Membuat perkaitan dalam sesuatu keadaan atau peristiwa untuk mencari sesuatu struktur atau corak hubungan.
Membuat kesimpulan awal yang munasabah, yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.
Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh dipercayai.
Mengitlakkan
Membuat gambaran mental
Mensintesiskan
Membuat hipotesis
Membuat pernyataan umum terhadap sesuatu perkara untuk keseluruhan kumpulan berdasarkan pemerhatian ke atas sampel atau beberapa maklumat daripada kumpulan itu.
Membuat tanggapan atau membayangkan sesuatu idea, konsep, keadaan atau gagasan dalam minda atau fikiran.
Menggabungkan unsur yang berasingan untuk menghasilkan satu gambaran menyeluruh dalam bentuk seperti pernyataan, lukisan dan artifak.
Membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Pernyataan ini boleh diuji untuk membuktikan kesahihannya.
Menganalogikan
Mereka cipta
Membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep yang kompleks atau abstrak secara mengaitkan konsep itu dengan konsep yang mudah atau maujud yang mempunyai ciri yang serupa.
Menghasilkan sesuatu yang baru atau melakukan pengubahsuaian kepada sesuatu yang sedia ada untuk mengatasi masalah secara terancang.
Strategi Berfikir
Penerangan tentang setiap strategi berfikir adalah seperti yang berikut:
Mengkonsepsikan Membuat pengitlakan ke arah membina pengertian, konsep atau model berdasarkan ciri spesifik sepunya yang saling berhubung kait.
Membuat keputusan
Menyelesaikan masalah
Memilih satu alternatif penyelesaian yang terbaik daripada beberapa alternatif berdasarkan kriteria tertentu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Mencari penyelesaian yang tepat secara terancang terhadap situasi yang tidak pasti atau mencabar ataupun kesulitan yang tidak dijangkakan
 

 

 

 

bottom of page